you follow me,i follow you

Monday, February 14, 2011

Aku sering memandang ke luar jendela.
Merenung ke langit melihat pokok, bintang, langit yang biru, pokok-pokok yang berdiri tegak dan bintang-bintang yang berkelipan di kala malam.
Malah aku sebenarnya sangat tertarik dengan sebatang pohon di hadapan jendelaku yang kelihatan sangat lebat dan rendang daunnya.
Setiap kali aku memandang keluar jendela, pohon itulah yang sering menambat perhatianku terlebih dahulu.
Dalam hatiku pula, aku sering tertanya-tanya apakah yang dapat aku pelajari dan aku fikirkan daripada alam ciptaan Allah ini.
"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang ada tanda-tanda bagi orang yang berakal. Yaitu orang-orang yang mengingat Allah dalam keadaan berdiri atau duduk atau berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata: Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka'' (Surah Al-Imran : 190-191)
Suatu hari aku terdengar petikan kata-kata Ustaz Zahazan dalam satu kuliahnya menerusi radio - orang beriman umpama pohon yang merendang. Akarnya sangat kuat dan sangat sukar untuk dipatahkan.
Malah akarnya bisa mencengkam ke dasar tanah. Begitulah jua dengan orang beriman.
Keimanannya teguh semata-mata kerana Allah yang Esa.
Daun pohon itu sangat rendang dan lebat umpama orang beriman yang semakin berusia, semakin bertambah pula amal ibadatnya semakin bertambah jua ilmunya.
Pohon itu sangat teguh dan kukuh di situ.
Meskipun kadangkala dahan dan dedaunnya meliuk lintuk dan bergerak dipukul angin kuat, namun pohonnya tetap di situ.
Akarnya yang kuat mampu menahan dirinya daripada tumbang.
Ya! Seperti orang yang beriman, meskipun kadangkala iman itu ada naik dan turunnya, meskipun terkadang hampir ditewaskan dengan pujuk rayu syaitan dan nafsu, namun keimanan yang teguh yang mendasari hati mengatasi segalanya.
Pohon itu tahan diuji dengan panas dan hujan. Malah meskipun disambar petir dan angin yang kencang.
Sepertimana orang yang beriman, meskipun diuji dengan dugaan dan ujian yang sangat berat, namun dia pasrah dan sabar.
Mereka tetap meneruskan hidup dengan senyuman dan tidak pernah mengalah.
Dedaun yang kering dan sudah tua tidak kekal di atasnya.
Ianya akan jatuh ditiup angin atau jatuh sendiri, dan akhirnya menyatu dengan tanah.
Sepertimana orang beriman yang tidak pernah membiarkan dirinya bersalut dosa, sering mencari peluang untuk bertaubat dan menyucikan diri, agar diri termasuk dalam kalangan orang yang diampunkan.
Pohon itu juga menjadi tempat untuk insan berteduh daripada kepanasan, bersandar kerana keletihan.
Tambahan itu, mereka juga dapat berlindung daripada panas dan hujan sepertimana orang beriman yang menjadi pelindung kepada saudaranya yang lain serta membantu saudaranya yang dalam kesusahan di samping membela nasib orang miskin dan anak-anak yatim.
Burung-burung juga sering singgah di dahan pohon tersebut.
Itulah umpamanya orang beriman yang dalam masa yang sama, menjadi penolong agama Allah dengan menyebarkan hidayah dan petunjuk-Nya kepada hamba-hamba-Nya yang lain yang perlukan bimbingan. Mereka mengajak ke arah kebaikan, menyeru ke jalan yang benar dan mencegah daripada kejahatan.
Namun, pohon itu tetap pohon.
Sebatang pohon yang merupakan makhluk Allah. Dia tidak kekal dan saatnya akan tiba, Pasti ia akan mati jua.
Walau seteguh mana pun ia di situ, aku sedar, saatnya akan tiba di mana aku tidak mampu lagi menyaksikan ianya berdaun lebat dan berdiri kukuh di situ.
Sepertimana orang beriman, tiba masa dan ketika, dirinya tetap kan pergi menghadap Ilahi.
Namun kehilangannya pasti dirasai, jasa dan bakti mereka tetap dalam sanjungan.
Dan akhirnya aku dapat mempelajari sesuatu daripada sebatang pohon yang sering aku pandang selama ini.

Ini mengajarku untuk menjadi seorang hamba yang lebih baik kepadaNya.
Bukan sekadar untuk dipandang, namun jua untuk dipelajari dan diambil pelajaran daripadanya. Semoga kita semua mampu belajar sesuatu daripada alam yang terbentang luas ini sebelum mata ini terpejam buat selamanya.
Juga, semoga kita bisa meningkatkan keimanan dan amal soleh kepada NYA ,serta termasuk dalam kaum yang memikirkan. Insya Allah.
Dan Kami hamparkan bumi itu dan Kami letakkan padanya gunung-gunung yang kokoh dan Kami tumbuhkan padanya segala macam tanaman yang indah dipandang mata, untuk menjadi pelajaran dan peringatan bagi tiap-tiap hamba yang kembali (mengingati Allah). (Surah Al-Qaaf, 50:7-8 )

Thursday, February 10, 2011

calon solehah

CALON SOLEHAH
www.iluvislam.com


“Layakkah kita untuk mengasihi manusia sekiranya kasih dan cinta kita pada Pencipta manusia itu masih belum mantap. Tepuklah dada tanyalah iman.”



Hafiz bedroom separate kelaziman, die markup wajahnya. Sunat selepas maghrib menjadi penutup ibadah senjanya lewat petang itu. Hajat memang ada untuk sama-sama meraih pahala berganda di masjid, namun keletihan diri terlebih dahulu merantai keinginan mulia itu. Serik rasanya beradu kekuatan di padang bola bersama dengan orang Arab. Ganas, agresif dan kasar. Semuanya bersatu dan berpadu dan membuahkan natijah yang kurang menyenangkannya. Tersungkur jugak dia dibentes lawan. Tangannya mencapai minyak habbatussauda’ untuk disapukan pada bahagian yang sudah nampak lebam biru kehitaman. Kakinya hampir saja kejang. Aduh! Dia mengeluh. Matanya terpaku pada penanda buku unik yang terselit malu pada Tafsir Quran. Jamahan matanya menyatakan dalam kiasan nurani penanda buku itu unik rekaannya. Seunik bicara dan hujah pemberi “book mark” itu. Kemas dengan kesan “liminate”, berukuran comel 30cm panjang kali 5cm lebar. Kalimah bertinta ungu itu menarik perhatiannya malah tersemat utuh di hatinya. Terkesan siapa yang membaca hikmah puitis itu.


Semusim percutianku sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Yarmouk ini, sememangnya meninggalkan kesan yang mendalam pada hatiku. Alasan yang aku kemukakan semata-mata untuk mengelak apabila Tok Ayah persoalkan tentang jodoh ternyata membuahkan satu mutiara kenangan. Kenangan yang menautkan dua hati melalui penyatuan idea mengenai CALON SOLEHAH. “Mencari seorang calon isteri yang solehah bolehlah kita umpamakan sebagai mencari gagak putih. Semakin ia bernilai maka lazimnya semakin susah untuk kita dapatkan."
Agaknya inilah penyebab ramainya anak muda yang masih mencari-cari jodoh sedangkan umur semakin meningkat…lewat menunaikan seru!!!.

“ Hafiz, kamu tidak mahu berkahwin ke?” eh, tiba-tiba pula Tok Ayah mengutarakan soalan cepu mas ini. Pengajian memang sudah tamat namun hajat di hati ingin menyambung ke peringkat sarjana masih segar.

“Bukan tak berkeinginan Tok Ayah tapi..hajat nak mencari yang solehah. Biar dunia tidak berat sebelah .”  Harap-harap inilah alasan yang agak kukuh.

“Nak cari yang benar-benar solehah, bukanlah satu usaha yang mudah. Nak yang solat di awal waktu, hormati ibu dan ayah, pandai mengaji Quran, menutup aurat..ish, banyak sungguh ciri-ciri kamu Hafiz!!. Alamatnya, sampai Tok Ayah berumah kat batu dua lah baru sampai hajatnya. ”

“ Susahlah Tok Ayah…yang sipi-sipi ada lah jugak jumpa…” sempat juga aku melontarkan idea spontan aku. Tok Ayah hanya menggeleng.

Pertemuan dengan Raihanah berlaku secara tidak sengaja, ketika bersama-sama Tok Ayah singgah ke warung pagi itu. Suka benar Tok Ayah dengan nasi lemak air tangan ibu saudara Raihanah. Dia kurang mengenali siapa Raihanah. Malah daripada cerita ibu saudaranya itu Raihanah adalah anak abangnya yang tinggal di Kedah. Tamat pengajian gadis itu bermastautin sementara di kampungnya. manis tapi jarang tersenyum. Kulit asianya terlindung di sebalik baju t-shirt labuh paras lutut dan bertangan panjang itu, dengan tudung turki bercorak flora. Tiada yang istimewa sangat! Namun peristiwa malam itu di surau ternyata membuktikan bahawa gadis itu bukanlah sebarangan gadis. Mempunyai daya tarikan pada yang tahu menilai mutiara wangian syurga ini.

“Calon isteri yang solehah.Orang lelaki nak yang solehah sahaja, tapi kadangkala diri sendiri dia tak check betul-betu!!,” ngomel seorang gadis ketika perbincangan ilmiah pada malam itu apabila Tok Ayah menyatakan mengenai topik tersebut. Aku sekadar tersenyum. Kelaziman kuliah maghrib lebih berbentuk ilmiah untuk menarik golongan muda bersama-sama meluahkan pendapat. Mendengar kata-kata gadis itu aku tersenyum sendirian.

“Raihanah ada sebarang pendapat? ” soal Tok Ayah apabila gadis bertelekung putih itu hanya sekadar menjadi pemerhati debat tidak formal itu.“Sekadar pendapat Tok Ayah. Jika kita nak bakal zaujah kita seorang yang solehah, yang bertaqwa saya ada satu tips ". Riuh seketika. “Sebelum kita kaji dan tilik bakal isteri kita paling afdal kita tilik diri kita dulu. Teropong dulu takat mana iman dan taqwa kita!” aku sedikit terkelu. Macamana agaknya? Namun persoalan itu hanya berlegar-legar di fikiran kosongku, tidak terluah.

“Nak dapat bakal isteri yang solehah, paling penting syarat utamanya solehkan dulu diri anda. Di sinilah dapat kita kaitkan konsep bakal isteri yang solehah untuk bakal suami yang soleh. tabur ciri-ciri suami soleh dalam diri. Siramkan sahsiah mulia dengan sifat mahmudah lelaki soleh ". Aku mengangguk tanda setuju dengan pendapat bernas itu.

“Tapi, ada jaminan ke kita akan mendapat bakal isteri yang solehah? ” ada Qariah muda berani untuk mengutarakan soalan. “Bergantung pada diri kita sebenarnya. Suburnya ciri-ciri lelaki soleh pada diri kita insyaAllah akan meningkatkan iman dan taqwa kita. Semakin cerahlah peluang untuk kita mendapat calon yang solehah. Jodoh adalah kerja Allah. Ingatlah jaminan Allah dalam surah Nisa’ bahawa lelaki yang soleh telah ditetapkan akan dipertemukan dengan perempuan yang solehah. Lelaki yang mukmin untuk perempuan yang mukminat.” Raihanah melepas lelah barangkali. Lalu dia tersenyum.

“ Teruskan usaha mencari calon yang solehah. Tapi, dalam masa yang sama tingkatkan nilai kesolehan anda. Inilah strategi serampang dua mata, macam DEB. Cuma satu nasihat saya, jangan letakkan syarat bakal zaujah itu terlalu tinggi . "

“Kenapa pulak?” Tanya Tok Ayah. Eh, Tok ayah pun mengambil bahagian juga?...bukankah hakikat sebuah perkahwinan adalah saling melengkapi... insyaAllah jika ada yang kurang pada bakal zaujah, tampunglah selepas perkahwinan tersebut. Hal iman dan taqwa janganlah diambil remah. Jangan nak berlebih dan berkurang dalam hal mencari pasangan kita. Mengambil kata-kata daripada laman Kemudi hati dalam Anis, kebanyakan lelaki menilai dan meletakkan piawaian yang tinggi untuk bakal zaujahnya tetapi merendahkan piawaian itu untuk dirinya…itu adalah silap tafsir.” Alhamdulillah, sekarang terbuka sudah pemikiran ruang lingkup. Aku tersenyum. Terima kasih Raihanah. Tok Ayah juga tersenyum. Ada hikmah di sebalik semua ini.

“Hafiz, ada surat untuk anta daripada Malaysia!!”. Kenyitan mata Syahid sewaktu menyerahkan surat bersampul unggu itu diikuti dengan gelak tawa rafiknya yang lain mematikan lamunannya. Senyuman yang berbunga di bibir Syahid seolah-olah memberitahunya bahawa warkah itu sudah pastinya daripada tunangannya, Raihanah!! . Calon pilihan Tok Ayah, dan juga hatinya yang kini sedang meneruskan pengajian peringkat Sarjana Undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa. Alhamdulillah, gadis inilah yang telah menemukannya titik noktah pencarian CALON SOLEHAH.
Syukur Ya Allah!!! .

Sunday, February 6, 2011

Anak kecil

ANAK KECIL: RM10
Ameen! Mari sini, nak!" panggil Ruslan.

Ameen yang sedang khusyuk bermain guli segera mendapatkan ayahnya.

"Kenapa, ayah?" tanyanya.

"Nah, ambil duit ni!" Ruslan memberikan sekeping not RM10 kepada anaknya yang baru berusia 9 tahun itu.

"Koyak duit itu sehingga lumat."

Tanpa membantah, Ameen mengoyak wang kertas itu. Kemudian, Ruslan memberikan pula sebuah bekas yang mengandungi banyak ais potong kepada Ameen.


"Kesemua ais potong ni kamu jual di sekeliling kampung. Dapat hasilnya kamu bawa ke mari," Ruslan memberi arahan yang seterusnya.

Lantas, Ameen keluar dari rumah sambil membawa bekas ais potong itu dan dijaja di sekitar kampung. Peluhnya mencurah-curah mengalir kerana menjual dari pagi sehingga petang. Panas terik langsung tidak dipedulinya kerana matlamatnya untuk mendapatkan hasil jualan itu. Habis sahaja kesemua ais potong itu, Ameen segera menemui ayahnya.

Ruslan mengira jumlah pendapatan hasil jualan itu dan mendapati kesemuanya bernilai RM10. Dia menyerahkan duit itu kembali kepada Ameen kemudian berkata,

"Sekarang kamu koyak duit-duit kertas ini."

"Apa?!" Ameen ternyata sangat terkejut.

Setelah banyak dia berkorban untuk mendapatkan hasil jualannya, senang-senang saja ayahnya menyuruh dia mengoyak duit-duit jualan itu.

"Tak mahu! Ini hasil titik peluh saya! Mustahil saya akan mengoyaknya!"

***

Mengapa pelik anak kecil bernama Ameen itu? Ayahnya menyuruh dia mengoyak duit-duit yang sama nilainya. Tetapi, Ameen tidak rela mengoyak duit kedua berbanding duit pertama yang diperolehinya. Itulah tamsilannya dalam dunia umat Islam sekarang.

Agama Islam memerlukan pengorbanan. Dengan adanya pengorbanan, seseorang akan berasa memiliki beragama. Kita lihat kisah sebentar tadi. Disebabkan RM10 yang diberikan Ruslan diperolehi Ameen tanpa usaha (pengorbanan), maka Ameen langsung tidak marah ketika mengoyaknya. Tetapi ketika RM10 yang diperoleh dari pengorbanan, susah payah, dan keringat Ameen menjual ais potong, maka dia berasa sangat marah apabila disuruh mengoyaknya.

Hari ini agama Islam yang kita anuti pada umumnya ialah Islam warisan orang tua kita. Kita menganutinya secara langsung sejurus selepas lahir tanpa melakukan pengorbanan. Sehingga ketika agama kita diganggu oleh kekuatan kafir yang mungkar dan zalim, umat Islam hari ini tenang-tenang sahaja. Ketika Islam berganti wajah dan baju mengikuti Yahudi dan Nasrani pun, umat Islam hanya berdiam saja.

Bahkan saat haraga diri umat Islam diinjak-injak oleh kekuatan batil melalui geraka permurtadan oleh zionis Yahudi dan missionaris Kristian, umat Islam hanya berpeluk tubuh. Seandainya proses mendapatkan Dinul Islam ini diperoleh dengan pengorbanan diri dan harta melalui perjuangan dan jerih kepayahan, maka kewibawaan agama Islam akan terjaga. Jika ada puak-puak yang cuba mengusik agama apatah lagi bermaksud untuk menghancurnya, dengan spontan umat Islam akan bergerak membelanya.


Mari kita renung firman ALLAH SWT dalam Surah as-Shaf 61:10-11 yang berbunyi:

"Wahai orang-orang yang beriman mahukah kamu aku tunjukkan suatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya. Iaitu kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda kamu dan diri kamu, yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui ( hakikat yang sebenarnya )".

Seterusnya, Rasulullah SAW ada bersabda:

قِيْلَ يَا رَسُوْلَ اللهِ أَيُّ النَّاسِ أَفْضَلُ، فَقَالَ رَسُوْلُ الله صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُؤْمِنٌ يُجَاهِدُ فِى سَبِيْلِ اللهِ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ، قَالُوْا ثُمَّ مَنْ قَالَ مُؤْمِنٌ فِى شِعْبٍ مِنَ الشِّعَابِ يَتَّقِى اللهَ وَيَدَعُ النَّاسَ مِنْ شَرِّهِ

Ditanya orang akan Rasulullah SAW,

" Siapakah manusia yang lebih utama?" Maka jawab Rasulullah SAW "Orang yang lebih utama ialah orang mukmin yang berjihad di jalan Allah dengan diri dan hartanya sendiri." Mereka berkata : "Siapa kemudian?" Bersabda Rasulullah SAW "Orang mukmin yang berada di satu lurah bukit ia takut kepada Allah dan menyeru manusia supaya menjauhi daripada angkara kejahatan."
(Hadis Riwayat Bukhari)